SANDAKAN, 9 Mac — Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dipukul sekumpulan individu ketika menjalankan rondaan di kawasan pasar Batu 8, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, semua suspek yang merupakan warga Filipina itu diberkas pada Sabtu di beberapa lokasi berasingan iaitu sekitar Batu 8, Kampung Bariawa dan kawasan setinggan Kampung Melayu.
Menurutnya, tindakan itu diambil susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa sejurus selepas kejadian berlaku.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah. Bagaimanapun, mereka mengaku terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, anggota penguat kuasa MPS berusia 50 tahun itu dilaporkan diserang sekumpulan lelaki ketika membuat rondaan di kawasan pasar Batu 8.
Difahamkan, mangsa sebelum itu menegur seorang individu yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan berkenaan, sebelum berlaku pertengkaran yang membawa kepada serangan oleh beberapa lelaki lain.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam pada beberapa bahagian badan dan dibawa ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan lanjut.
TAMAT
