LAHAD DATU: 9 Mac -Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 57, Jalan Lahad Datu–Tungku, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun menunggang motosikal jenis Ninja EX250S dari arah FELDA menuju ke Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Preve dipandu lelaki berusia 46 tahun dari arah Lahad Datu menuju ke Tungku dipercayai cuba masuk simpang kanan di Kampung Sibural.
Menurutnya ketika kenderaan itu membelok, motosikal yang datang dari arah bertentangan bergerak lurus sebelum berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan terbabit.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah sebelum dibawa orang awam ke Klinik Kesihatan Tungku untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.15 pagi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Dzulbaharin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kemalangan serta tidak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
TAMAT
