LEBIH BANYAK INISIATIF DIPERLUAS PERKASA WANITA SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU:21 APRIL-Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan keperluan memperluas pelaksanaan program pembangunan wanita di Sabah, khususnya dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan.

Beliau berkata, usaha berterusan perlu digerakkan bagi memastikan lebih ramai wanita di negeri ini diberi peluang meningkatkan keupayaan diri serta menyertai arus pembangunan ekonomi dan sosial secara aktif.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik peranan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang dilihat konsisten menjalinkan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dalam memperkasa golongan wanita.

“Saya berharap penglibatan wanita dalam sektor ekonomi, pendidikan dan kepimpinan dapat dipertingkatkan melalui program yang dirancang secara bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi MPWS yang diketuai Pengerusinya Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Dalam sesi tersebut, Rosmawati membentangkan pelbagai inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MPWS dengan penekanan terhadap pembangunan kapasiti wanita dalam pelbagai bidang.

Antara program yang diketengahkan termasuk inisiatif kepimpinan Global Women @ Sabah (Glow@Sabah)yang berperanan mengenal pasti bakat kepimpinan dalam kalangan wanita serta membimbing mereka mencapai potensi optimum.

Selain itu beliau turut memaklumkan mengenai penganjuran sambutan Hari Wanita Negeri yang dijadual berlangsung pada 9 September ini sebagai platform menghargai dan mengiktiraf sumbangan wanita di Sabah.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Pengerusi Datuk Hajah Fauziah Binti DSP Haji Abu Bakar Titingan, Setiausaha merangkap Pengarah JHEWA Hajah Haslina Ismail serta barisan jawatankuasa MPWS

Share This Article