Perpaduan Teras Kekuatan Sabah, Tun Musa Aman Seru Rakyat Kekal Harmoni

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU –25 Dis, Rakyat Sabah diseru agar terus memelihara hubungan baik antara kaum dan agama bagi memastikan perpaduan serta keharmonian negeri kekal terpelihara.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata sikap toleransi dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama menjadi asas kepada kemakmuran negeri dan negara.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Selamat Hari Natal 2025 dan Tahun Baharu 2026, sambil menegaskan bahawa keharmonian masyarakat merupakan kekuatan utama Sabah yang wajar dipelihara dan diperkukuhkan.

Menurut Tun Musa, sepanjang 2025 Sabah berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim serta kepesatan teknologi namun rakyat negeri ini terus membuktikan daya tahan dan semangat kebersamaan yang tinggi.

Katanya, kerajaan negeri kekal komited melaksanakan pembangunan ekonomi yang inklusif dan seimbang agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat di seluruh pelosok negeri tanpa mengira latar belakang.

Tun Musa turut menegaskan bahawa kejayaan pembangunan bergantung kepada tadbir urus berintegriti, penyampaian perkhidmatan awam yang cekap serta kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat, selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

Mengakhiri perutusan, beliau mengucapkan Selamat Hari Natal kepada penganut Kristian serta merakamkan penghargaan kepada perkhidmatan awam, pasukan keselamatan, agensi penguat kuasa, badan sukarela dan seluruh rakyat Sabah atas sumbangan berterusan kepada negeri.

TAMAT

Share This Article