SESI LIBAT URUS SABAH ELECTRICITY DAN UPPM PERKUKUH PENYAMPAIAN MAKLUMAT KEPADA RAKYAT

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 25 MEI – Usaha memperkukuhkan penyampaian maklumat berkaitan perkhidmatan elektrik kepada rakyat terus diperkasa menerusi penganjuran Sesi Libat Urus Sabah Electricity bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang berlangsung di Ballroom, Livingston Hotel, di sini, baru-baru ini.

Program berkenaan melibatkan 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar Parlimen Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan.

Sesi tersebut dihadiri Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Awang Kadin Tang serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar bersama pegawai kanan agensi berkenaan.

Dalam sesi itu, Sabah Electricity menyampaikan penerangan berkaitan usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan ketelusan serta meningkatkan kefahaman rakyat terhadap isu-isu berkaitan bekalan elektrik.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk pemahaman tarif elektrik, diagnosis bil pengguna serta kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM dalam memastikan maklumat tepat dapat disampaikan terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Program itu turut membuka ruang kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) untuk mengemukakan pelbagai persoalan dan isu semasa berkaitan perkhidmatan elektrik di kawasan masing-masing yang dijawab secara langsung oleh pihak Sabah Electricity.

Datuk Awang Kadin berkata, sesi libat urus seumpama itu amat penting dalam memperkukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap isu rakyat dapat diselaras serta ditangani dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, penyampaian maklumat yang jelas dan tepat mampu meningkatkan kefahaman rakyat selain mengelakkan kekeliruan berkaitan perkhidmatan utiliti yang melibatkan kepentingan harian masyarakat.

Beliau turut berharap kerjasama erat antara UPPM dan Sabah Electricity akan terus diperkasakan demi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa dipertingkat sejajar aspirasi pembangunan negeri Sabah.

Share This Article