RM29 JUTA UNTUK SK PEKAN LAHAD DATU

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU (15 JULAI): Sejumlah RM29 juta untuk naik taraf dan pembinaan baharu Sekolah Kebangsaan Pekan Lahad Datu.

Projek di bawah inisiatif Sekolah Daif Sabah itu melibatkan pembinaan semula 26 bilik darjah, empat unit rumah guru dan kemudahan sokongan, termasuk sebuah bangunan tiga tingkat yang dijangka mampu menampung pertambahan pelajar sehingga 3,000 orang, berbanding 1,904 pelajar ketika ini.

Sekolah berkenaan yang wujud sejak 1937, turut mempunyai seramai 119 guru.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Mazlan, berkata projek berkenaan dijadual siap sepenuhnya pada 22 Julai 2026, namun kerajaan mahu memastikan ia dapat disiapkan lebih awal

“Saya telah mengarahkan supaya pihak sekolah dan kontraktor bekerja lebih masa, dan melaksanakan Deed of Assignment (DOA) bersama pembekal agar pembayaran dapat dibuat terus oleh kerajaan kepada pembekal.

Kontraktor juga digalakkan mengemukakan tuntutan kerja lebih daripada sekali sebulan, manakala proses kelulusan bahan binaan perlu dipercepatkan di semua peringkat,” katanya kepada media ketika meninjau kemajuan projek di SK Pekan Lahad Datu, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa lanjutan masa (extension of time) tidak sepatutnya diberikan lagi kepada kontraktor agar manfaat projek dapat segera dirasai oleh komuniti setempat.

Tambah beliau, Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) terus memantau rapi perkembangan projek ini dan melakukan libat urus berterusan dengan kontraktor agar ia dapat disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan.

“Kita mahu projek ini benar-benar memberi impak kepada murid-murid dan warga penduduk SK Pekan Lahad Datu, yang telah lama menanti kemudahan pendidikan yang lebih baik,” katanya.

TAMAT

Share This Article