SEORANG MAUT DALAM KEMALANGAN JALANRAYA MEMBABITKAN TUJUH KENDERAAN DI FLYOVER LUYANG

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 14 SEPT – Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas tersepit dalam kenderaan Toyota Hilux dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dan sebuah motosikal di flyover menghala ke Luyang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.33 pagi itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas menerima panggilan kecemasan sebelum tiba di lokasi pada jam 6.41 pagi.

Komander Operasi, PBK II Mohd Hanafiah Tunjol berkata kemalangan berkenaan membabitkan tujuh kenderaan serta sebuah motosikal.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Toyota Hilux menggunakan peralatan khas penyelamatan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi melibatkan enam anggota BBP Lintas itu tamat sepenuhnya pada jam 7.55 pagi selepas keadaan di lokasi kejadian disahkan selamat.

Turut berada di lokasi ialah tiga anggota PDRM dan tiga anggota KKM.

Share This Article