KOTA MARUDU, 13 Mac – Seorang wanita berusia 31 tahun cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sendiri dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Tandek, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.07 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I Muhammad Dini Ghani, tiba di lokasi pada jam 8.17 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Vigo yang dipercayai terbabas sendiri.
Menurut laporan seorang mangsa wanita yang terlibat berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Klinik Lotong bagi mendapatkan rawatan.
Operasi yang turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melibatkan lima anggota bomba bersama sebuah jentera FRT dari BBP Kota Marudu.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.55 pagi.
TAMAT
