ESSCOM AGIH DAGING KORBAN

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU: 9 Jun – Sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan biasa bahkan ia merupakan simbol agung sebuah pengorbanan yang terpahat kukuh dalam sejarah ketamadunan Islam, kata Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd Ali.

” Inilah semangat Aidiladha yang perlu kita hayati bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas akan melahirkan kekuatan luar biasa dalam diri dan masyarakat, ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Libat Urus dan Sambutan Hari Raya Aidiladha bersama rakan strategik ESSCOM di Dewan Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu, pada Isnin.

“Kisah pengorbanan ini begitu signifikan dengan situasi sahabat kita di PDRM, ATM dan Maritim kerana mereka bukan sahaja berkorban masa tetapi juga emosi dan raga demi memastikan kita dapat meraikan Hari Raya dengan gembira serta menikmati keamanan tanpa gangguan.

“Pengorbanan ini bukan kecil malah ia melibatkan rindu yang tertangguh, tawa keluarga yang dirindui dan detik-detik Aidiladha yang disambut dalam sunyi, namun semua itu dilakukan dengan satu semangat demi tanah air tercinta,” katanya.

Program libat urus dan sambutan Hari Raya Aidiladha sebelum ini juga pernah diadakan di Tanjung Kapur, Kudat,Kampung Inderasabah, Tawau dan Kampung Silam Lahad Datu selain turut dirancang dilaksanakan di kawasan lain Timur Sabah pada masa akan datang.

Pada program Libat Urus dan Sambutan Aidiladha beesama- sama strategik Esscom itu, empat ekor lembu korban merupakan sumbangan ESSCOM; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Benetty @ Mohd Dzul; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS) Lahad Datu.

Daging korban berkenaan akan diagihkan kepada asnaf layak di sekitar daerah ini.

Dalam pada itu, Jamaluddin tegas menyatakan komitmen ESSCOM untuk terus menjadi perisai ESS Zone, bukan sahaja dari ancaman fizikal, tetapi dari sebarang bentuk ketidakstabilan yang menggugat kesejahteraan rakyat.

Menurutnya,sokongan padu daripada komuniti setempat membuktikan bahawa ESS Zone ini bukan sekadar zon kawalan keselamatan, tetapi sebagai zon perpaduan, kepercayaan dan kesejahteraan bersama.

TAMAT.

Share This Article