TUARAN, 5 SEPT – Kerajaan Sabah mahu kemudahan serta fasiliti kesihatan di negeri ini terus dipertingkat bagi memastikan rakyat, termasuk di kawasan pedalaman, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang cepat, selamat, berkualiti dan saksama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penambahbaikan berterusan dalam sektor kesihatan amat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat, mengambil kira cabaran Sabah dari aspek keluasan geografi, taburan penduduk dan aksesibiliti perkhidmatan.
“Cabaran tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memastikan setiap rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman dan sukar dicapai, memperoleh akses kepada perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kembara TOBaTS (Tolak Ubat Tidak Sah) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.
Hajiji berkata Sabah juga mahu lebih banyak fasiliti perubatan dan hospital pakar dibangunkan, selain penambahan doktor pakar bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan perubatan yang lebih selesa dan berkesan.
Katanya, antara usaha ke arah itu ialah kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan IJN Sdn Bhd yang dimeterai pada April lalu bagi pembinaan sebuah hospital jantung bertaraf dunia di Kota Kinabalu.
Beliau berharap projek berkenaan dapat direalisasikan sekali gus memperkasakan akses rakyat Sabah kepada perkhidmatan rawatan jantung.
Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran Kembara TOBaTS membuktikan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama kerajaan negeri dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat daripada ancaman produk kesihatan serta ubat-ubatan tidak sah.
Menurutnya, perkembangan platform digital dan media sosial menyebabkan produk kosmetik, suplemen serta ubat-ubatan tidak berdaftar semakin mudah dipasarkan terus kepada pengguna.
Keadaan itu, katanya, turut membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab membuat pelbagai dakwaan perubatan yang mengelirukan atau tidak berasas.
“Kesihatan dan keselamatan rakyat tidak boleh dan tidak akan sesekali dikompromi. Penggunaan ubat tidak sah boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan kerana produk sedemikian tidak memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan, malah boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan fungsi hati dan membawa maut,” katanya.
Hajiji berkata, penguatkuasaan semata-mata tidak memadai, sebaliknya masyarakat yang berpengetahuan dan berwaspada serta mampu membuat keputusan tepat menjadi benteng pertahanan paling ampuh.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sabah mengamalkan budaya menyemak melalui aplikasi MyUbat yang disediakan KKM sebelum membeli sebarang ubat.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan ubat yang dibeli berdaftar dengan KKM serta mendapatkan nasihat ahli farmasi atau doktor sebelum mencuba sebarang produk kesihatan baharu.
“Saya berharap program Kembara TOBaTS menjadi titik tolak kepada pembentukan satu budaya baharu iaitu budaya celik ubat serta budaya menolak sebarang bentuk penipuan dan penyalahgunaan berkaitan ubat,” katanya.
Hajiji turut memberi jaminan kerajaan negeri akan terus menyokong dan memperkukuh sinergi bersama KKM serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus diperkasa secara mampan dan menyeluruh.
Beliau berkata kerjasama padu KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan agensi kerajaan negeri penting bagi memastikan mesej Kempen TOBaTS dapat disampaikan secara meluas hingga ke peringkat akar umbi di seluruh Sabah.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Hajiji berkata kerajaan negeri menerusi jawatankuasa di peringkat negeri akan mengambil langkah proaktif yang sewajarnya sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan.
