KOTA KINABALU-14 Dis,Kerajaan Sabah merombak struktur pentadbiran beberapa kementerian negeri menerusi perubahan nama serta penambahan fungsi strategik bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, langkah itu diambil bagi memastikan setiap kementerian terlibat mampu melaksanakan peranan secara lebih menyeluruh selaras dengan keperluan pembangunan semasa negeri.
Menurut beliau, antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Kerja Raya Sabah yang kini dinamakan semula sebagai Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, manakala Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat ditukar kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Jumaat lalu.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan diubah kepada Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan sementara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Kerajaan negeri turut membuat keputusan untuk menukar nama Kementerian Belia dan Sukan kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif,” katanya.
TAMAT
