DUA INDIVIDU DITAHAN, POLIS SEMPORNA TERUS GEMPUR AKTIVITI DADAH

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 19 JULAI- Polis Semporna menahan dua individu dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini semalam selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan pasukan itu dalam membanteras penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 9 pagi di Kampung Bangau-Bangau membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang dipercayai memiliki 0.08 gram dadah disyaki syabu.

Menurutnya, kira-kira sejam kemudian, seorang lagi lelaki berusia 26 tahun yang juga warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan dan Kenderaan Awam di Kilometer 22, Jalan Semporna-Tawau selepas pemeriksaan menemui 0.35 gram bahan disyaki syabu dalam milikannya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Semporna untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata, Polis Daerah Semporna akan terus mempergiat operasi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah bagi memastikan daerah itu bebas daripada ancaman jenayah berkenaan.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan, sekali gus memastikan Semporna kekal aman, selamat dan bebas daripada ancaman dadah.

Share This Article