KOTA BELUD, 26 Mac — Kerajaan Sabah merancang membangunkan sebuah taman perindustrian baharu seluas kira-kira 13,000 ekar di daerah ini sebagai langkah memperkukuh asas ekonomi negeri.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan pembangunan itu kini berada di peringkat perancangan dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri Sabah dalam masa terdekat untuk pertimbangan serta kelulusan.
Menurutnya, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu akan dijalankan secara berfasa, sejajar dengan strategi kerajaan negeri memperluaskan pembangunan taman perindustrian ke kawasan baharu termasuk Kota Belud dan Kudat.
“Pelan induk projek sedang diperhalusi sebelum dikemukakan kepada Kabinet negeri. Kita berharap ia mendapat sokongan penuh bagi membolehkan usaha menarik pelabur dimulakan,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menjelaskan, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), agensi di bawah kementeriannya yang diberi mandat membangunkan sektor perindustrian negeri.
Kawasan yang dikenal pasti terletak dalam DUN Pintasan, meliputi zon berhampiran pesisir pantai dan bersempadan dengan daerah Kota Marudu, sekali gus dilihat berpotensi menjadi hab ekonomi baharu di kawasan utara Sabah.
Beliau berkata, pembangunan taman perindustrian itu dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan kepada masyarakat.
“Sudah tiba masanya Kota Belud berkembang dengan aktiviti ekonomi berskala besar yang mampu memberi nilai tambah kepada daerah ini, bukan hanya tertumpu kepada pekan sedia ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut merancang mengadakan misi perdagangan ke luar negara, termasuk ke China, bagi mempromosikan peluang pelaburan di kawasan berkenaan.
Langkah itu, katanya, akan disertai Ketua Menteri bersama agensi berkaitan bagi menarik minat pelabur asing dan tempatan untuk menyertai pembangunan tersebut.
Selain itu, kerjasama antara agensi negeri dan Persekutuan akan diperkukuh bagi memastikan projek berkenaan memberi manfaat menyeluruh, termasuk membuka ruang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan tempatan.
Ewon turut menyatakan keyakinan bahawa inisiatif tersebut mampu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat, khususnya di Kota Belud, melalui penglibatan dalam rantaian industri yang bakal diwujudkan.
TAMAT
