Remaja Bawah Umur Jadi Mangsa Rogol, Suspek Ditahan Polis di Tawau

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 26 Mac — Seorang remaja perempuan bawah umur dilaporkan menjadi mangsa rogol dalam satu kejadian di kawasan Merotai Besar, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di rumah saudara di kawasan berkenaan sebelum dia didakwa diserang oleh seorang lelaki yang dikenalinya.

Menurut beliau, susulan laporan polis yang dibuat, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai dengan kerjasama penduduk setempat telah menjalankan operasi mengesan suspek.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20 tahun di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut, manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Pihak polis turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap keselamatan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak dan remaja, serta segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak berkuasa.

TAMAT

Share This Article