sh@ Syamilah Salleh
LAHAD DATU: 26 Jun – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Haji Mohammad Yusof Apdal hari ini menyampaikan Kit Pertandingan Malaysia Techlympics bernilai lebih RM4,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sapagaya dalam satu majlis di sini.

Program Jangkauan Keterangkuman Malaysia Techlympics 2025 ini merupakan julung kalinya diadakan di kawasan luar bandar Lahad Datu sebagai inisiatif MOSTI untuk memastikan akses terhadap pembelajaran teknologi dan inovasi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh pelajar tanpa mengira lokasi geografi.
Dalam ucapannya, Datuk Yusof menegaskan bahawa penglibatan pelajar luar bandar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah sama penting dengan pelajar di bandar.
“Kehadiran saya bukan hanya sebagai Timbalan Menteri, tetapi sebagai anak jati Sabah yang percaya bahawa peluang tidak harus terhad kepada pelajar di bandar sahaja,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa murid-murid SK Sapagaya akan terus dijemput ke Pertandingan Malaysia Techlympics Peringkat Negeri Zon Sabah di Kota Kinabalu pada 18 dan 19 Ogos ini, tanpa perlu melalui pusingan saringan.
Paling menggembirakan, segala kos termasuk pengangkutan, makan dan penginapan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MOSTI.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), agensi di bawah MOSTI, sebagai rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam memperluas capaian Malaysia Techlympics ke seluruh negara.
Beliau turut menyeru semua guru dan ibu bapa agar terus memberi bimbingan dan sokongan moral kepada anak-anak pelajar agar mereka mampu mencipta kejayaan dalam bidang teknologi dan seterusnya mengharumkan nama Lahad Datu di persada kebangsaan dan antarabangsa.
TAMAT
