Empat individu ditahan dalam Ops Tapis Narkotik di Sandakan

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN: Empat lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu operasi khas yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada Isnin.

Operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Tapis Narkotik itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan bermula kira-kira jam 11 pagi hingga 8 malam, melibatkan pemeriksaan di kawasan Kampung Gas, Jalan Batu Sapi serta Taman Mawar di Jalan Sibuga.

Dalam operasi berkenaan, tiga lelaki ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu. Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, dua lagi lelaki yang berada di lokasi berasingan turut ditahan kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan masing-masing.

Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing. Hasil pemeriksaan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Pada hari sama, pasukan operasi turut membantu anggota Balai Polis Ulu Dusun menjalankan ujian saringan awal terhadap seorang lagi lelaki di pejabat BSJND IPD Sandakan. Individu berkenaan juga didapati positif dadah jenis sama.

Semua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, dalam mempergiat usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini.

TAMAT

Share This Article