TAWAU, 22 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan dua vesel nelayan dalam dua operasi berasingan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan di perairan Tawau, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, penahanan pertama dilakukan kira-kira jam 10.40 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Operasi Sejahtera, Operasi Pluto Timur dan Operasi Tiris mengesan sebuah vesel nelayan asing di perairan negara.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas vesel berkenaan yang ditahan pada jarak 2.4 batu nautika selatan Tanjung Tinagat mendapati dua lelaki warga Indonesia berusia 44 dan 48 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain tidak memiliki lesen pendaftaran bot.
“Hasil siasatan awal mendapati vesel terbabit telah menceroboh perairan Malaysia dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian berasingan, sebuah vesel nelayan tempatan pula ditahan Kapal Maritim Malaysia (KM) Balung pada jam 11.30 pagi di kedudukan 2.8 batu nautika barat daya Batu Tinagat.
Ariffin berkata, dua lelaki warga Indonesia yang berada di atas vesel berkenaan mengemukakan dokumen perjalanan yang meragukan, selain permit kerja yang telah tamat tempoh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan gagal mengemukakan dokumen perjalanan asal, manakala kru memiliki permit kerja yang tidak sah,” tambah beliau.
Kesemua individu terbabit bersama vesel dan muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk hasil laut, dua buah vesel dan enjin dianggarkan berjumlah lebih RM121,000.
Ariffin menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, khususnya aktiviti perikanan haram di perairan Kawasan Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
TAMAT
