KOTA KINABALU, 26 JULAI – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Pusat Kawalan Bencana Negeri memantau secara rapi perkembangan banjir di Tawau yang telah diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat.
Beliau berkata, semua agensi berkaitan telah digerakkan ke lokasi terjejas dan diminta sentiasa bersiap siaga bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa banjir.
Pada masa sama, penduduk di kawasan rendah dinasihatkan agar terus berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan.
Terdahulu, Jawatankuasa Bencana Alam Tawau mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana selepas beberapa kawasan perumahan dinaiki air.
Sehingga jam 11 pagi, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau menempatkan seramai 335 mangsa daripada 96 Ketua Isi Rumah (KIR) manakala jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas masih dalam proses dikemas kini.
