SANDAKAN,13 Mac- Seorang remaja lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke laut di Kampung Tinosa, Batu 7, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Mahadir Danish Abdullah, 15, ditemui oleh sepupunya dalam keadaan tertiarap di bawah sebuah jambatan di kawasan berkenaan.
Difahamkan sebelum kejadian, remaja berkenaan yang menetap bersama ibu saudaranya di kampung terbabit memaklumkan mahu keluar membeli barang bersama beberapa rakan.
Namun mangsa dipercayai terjatuh ke laut tidak lama kemudian sebelum ibu saudaranya meminta bantuan sepupu mangsa serta penduduk kampung untuk menjalankan usaha mencarinya di sekitar lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata sebaik anggota polis tiba di lokasi, mangsa didapati berada di atas jambatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di tempat kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tidak menemui sebarang tanda kecederaan.
Setakat ini, tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat yang dikesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
TAMAT
