Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup 60 Tong Gas Bersubsidi di Perairan Tawau

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 8 Mac – Cubaan menyeludup keluar 60 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran berjaya digagalkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam satu operasi di perairan Tawau, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kejadian itu dikesan ketika bot peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan operasi Op Pagar Laut dan Op Tiris selepas menerima maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bot peronda berkenaan kemudiannya diarahkan ke lokasi yang dikenal pasti untuk memintas bot tersebut yang dikesan bergerak keluar dari kawasan Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik kira-kira pukul 9 malam.

“Ketika cubaan memintas dilakukan, juragan bot terbabit bertindak berpatah balik ke arah pesisir pantai sebelum terjun meninggalkan bot bersama muatan bagi melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil pemeriksaan mendapati bot kargo itu membawa 60 tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

Bot berkenaan bersama semua muatan kemudian dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin dan muatan gas LPG dianggarkan RM53,800.

Ariffin berkata, permintaan tinggi terhadap barangan dari Tawau terutama menjelang musim perayaan dipercayai menjadi pendorong kepada kegiatan penyeludupan itu, dengan sindiket menggunakan waktu sunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya di perairan Tawau.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

TAMAT

Share This Article