KOTA KINABALU, 13 OGOS – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima 15 unit Light Operation Vehicle (LOV) berkeupayaan pacuan empat roda bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan mobiliti operasi bomba di seluruh negeri.
Majlis penyerahan dan agihan aset berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat JBPM Sabah dan disempurnakan Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sabah, PPjB Lizalman bin Abu.
Kesemua LOV berkenaan akan diagihkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh Sabah bagi menyokong pelbagai tugasan termasuk operasi kecemasan, rondaan, pengurusan logistik serta tugasan sokongan di lapangan.
Kenderaan berkenaan turut direka bagi membolehkan anggota bomba melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan di kawasan bandar dan luar bandar, selain meningkatkan keupayaan operasi ketika berdepan situasi bencana.
Penerimaan aset itu dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan, mobiliti dan keupayaan respons JBPM, khususnya mengambil kira keluasan geografi Sabah serta keadaan muka bumi yang pelbagai.
JBPM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas keprihatinan serta kelulusan keperluan LOV berkenaan yang disifatkan sebagai penting dalam memperkasakan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi jabatan khususnya di Sabah.
