SANDAKAN , 29 Ogos 2025 (Jumaat) – Seramai 645 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, kelmarin.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusssof, berkata langkah berterusan ini membuktikan keseriusan pihak berkuasa dalam menangani isu lambakan PATI di negeri ini.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang bersubahat atau melindungi PATI. Undang-undang akan dikuatkuasakan sepenuhnya.
Pemindahan melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Sandakan dan Tawau yang dibawa melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina.
Daripada jumlah tersebut sejumlah 451 ialah lelaki dewasa, 127 perempuan dewasa, 37 kanak-kanak lelaki dan 30 kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 77 tahun.
Semua kanak-kanak diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 5,639 warga Filipina telah dihantar pulang tahun ini, umenjadikan jumlah keseluruhan program pemindahan PATI dari Sabah sebanyak 7,203 orang.
Kesemua tahanan memiliki Travel Documents (TD) sah dan telah menjalani hukuman mengikut undang-undang sebelum dipulangkan.
Datuk Sh Sitti Saleha turut mengingatkan majikan supaya menyertai program pendataan digital warga asing anjuran Kerajaan Negeri Sabah terutama dalam sektor perladangan bagi mengurus dan merekod keberadaan pekerja asing.
Beliau menegaskan bahawa majikan yang didapati melindungi PATI boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, tiada ruang kompromi dan tindakan keras akan diambil.
TAMAT
