DBKK roboh struktur tanpa kelulusan di Sembulan mulai Januari

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 6 Januari 2026-Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan tindakan pengosongan dan perobohan struktur tanpa kelulusan di kawasan Sembulan bermula awal Januari 2026.

DBKK dalam kenyataannya memaklumkan tindakan itu melibatkan struktur yang dibina tanpa kelulusan, struktur usang serta tidak selamat untuk didiami selain struktur yang telah luput tempoh pajakan.

Menurutnya, pemeriksaan dan pemantauan berterusan mendapati wujud penempatan tidak terancang yang melanggar undang-undang kecil, berada dalam keadaan kotor serta berisiko dari segi keselamatan dan kesihatan awam, termasuk dikenal pasti sebagai antara kawasan dengan kadar penularan wabak denggi tertinggi di Kota Kinabalu.

“Hasil bancian turut mendapati terdapat struktur sementara dan kekal yang tidak mematuhi piawaian keselamatan, perancangan dan kebersihan sekali gus mencacatkan imej bandar serta meningkatkan risiko kebakaran, pencemaran dan ancaman keselamatan,” katanya.

DBKK turut memaklumkan seramai 159 ketua isi rumah bukan warganegara direkodkan menyewa di kawasan berkenaan dengan kebanyakannya terdiri daripada pemegang dokumen perjalanan tidak sah selain menerima rungutan penduduk Kampung Sembulan berkaitan isu keselamatan dan kebersihan.

Tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada Projek Pembaharuan Bandar (Sembulan Renewal Scheme) bagi meningkatkan kualiti persekitaran, keselamatan dan kesejahteraan penduduk ke arah pembangunan kawasan yang lebih teratur dan berdaya huni.

DBKK sebelum ini telah melaksanakan bancian penduduk dan struktur pada 8 hingga 12 Disember 2025 diikuti pengeluaran notis pengosongan dan perobohan pada 18 hingga 22 Disember 2025 dengan tempoh munasabah diberikan bagi pengosongan secara sukarela.

Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi berkaitan negeri.

DBKK menegaskan tindakan tegas termasuk kompaun, pendakwaan, sitaan dan perobohan serta-merta akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi notis atau mendirikan semula struktur tanpa kelulusan.

TAMAT

Share This Article