POLIS RAMPAS GANJA HAMPIR 642 GRAM DI PUTATAN

sabahheadlines
1 Min Read

PENAMPANG, 22 APRIL– Polis Daerah Penampang menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah apabila seorang lelaki tempatan ditahan dalam operasi khas Op Tapis yang dijalankan semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy bin Newton berkata, suspek berusia 25 tahun itu diberkas dalam satu serbuan sekitar petang di kawasan Jalan Pantai Berahi, Putatan.

Tangkapan dibuat hasil risikan dan tindakan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek telah membawa kepada penemuan enam paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 641.82 gram,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM1,890.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Sammy menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Usaha membanteras jenayah itu akan terus dipergiatkan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat terpelihara.

Beliau turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung sebarang aktiviti jenayah khususnya berkaitan dadah bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Share This Article