Oleh: Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 13 Sept – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan bilik gerakan utama dan jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Segama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar merasmikannya dan turut menyampaikan Panji-Panji Harapan kepada sembilan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta menyerahkan sumbangan kepada 13 sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Cabang Keadilan Lahad Datu, Romansah Lamin, dalam ucapannya menegaskan bahawa mandat rakyat di Segama akan dipertahankan.
“Jika diberi tanggungjawab bertanding di DUN Segama, kita akan lakukan yang terbaik untuk Presiden kita.
“Kita juga yakin mampu menawan Parlimen Tawau serta Zon 6 sekali gus mencipta sejarah di Segama,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya bersiap siaga menghadapi pengumuman pembubaran DUN selain mengesahkan kesediaan untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN) demi memperkukuh kerjasama strategik.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Peto Galim berkata kehadiran lebih 1,000 orang dalam majlis berkenaan membuktikan sokongan padu terhadap Pakatan Harapan (PH) di Segama.
“Kemenangan dalam pilihan raya bukan sahaja penting tetapi juga peluang untuk menawarkan kepimpinan reformasi yang adil dan sama rata.
“PKR melalui PH telah membuktikan kejayaan agenda reformasi di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dan kini bersedia membawa nafas baharu ke Sabah,” jelasnya.
Menurut beliau, Lahad Datu mempunyai lebih 60 kilang yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi selain berpotensi besar dalam sektor pelancongan.
Namun Ikatanya isu-isu setempat seperti jalan Pan Borneo yang belum siap, masalah air, elektrik dan peluang pekerjaan perlu segera ditangani.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan etnik Cocos dan Idahan, serta dihadiri oleh pimpinan parti termasuk rakan sekutu daripada BN.
TAMAT