BELURAN, 15 Okt – Seorang pekerja kilang sawit maut selepas tersepit pada mesin pengisar konveyor di sebuah kilang minyak kelapa sawit di Pamol, dekat sini, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.20 pagi melalui talian Balai Bomba Beluran.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran diketuai oleh PBK I Azman Asiman dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 98 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba dimaklumkan bahawa mangsa, seorang lelaki berusia 32 tahun, telah berjaya dikeluarkan oleh pekerja kilang dengan bantuan anggota polis sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian membantu mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada ambulans swasta untuk dihantar ke Hospital Beluran bagi tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.32 pagi.
Turut berada di lokasi ialah Komander Kanan, PPgB Edoen Macheal, bersama dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu dalam operasi tersebut.
TAMAT
