KUDAT, 28 Oktober – Seorang pekerja kontraktor warga Filipina berusia 56 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di pintu gerbang SRK (C) Lok Yuk Batu 1, Kudat, pagi ini.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik apabila tangga yang digunakannya tersentuh kabel elektrik sebelum terjatuh.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat tiba di lokasi empat minit kemudian.
Pasukan bomba mendapatkan bantuan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) untuk memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.
Bekalan elektrik diputuskan oleh pihak SESB yang tiba di lokasi pada jam 9.12 pagi sebelum mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat tiga minit kemudian.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
Operasi berkenaan turut melibatkan PDRM, KKM dan SESB.
