sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 10 Ogos – Seorang maut dan seorang lagi parah dalam kemalangan yang membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di KM 80 Jalan Lahad Datu – Tungku, Fella Sahabat 4 di sini.
Pemandu motosikal, lelaki, warga Filipina, 21, maut di tempat kejadian manakala pemboncengnya juga seorang lelaki alami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa bersama pembonceng berusia 19 tahun datang dari arah Cenderawasih, dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan terseret ke lorong bertentangan.
“Kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun dari arah Tungku tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut.
” Akibatnya, penunggang dan pembonceng tercampak berhampiran tengah jalan.
“Kemudian, sebuah kereta lain yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun yang berada di belakang kereta tadi turut melanggar motosikal itu sehingga terseret ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pembonceng mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Kedua-dua pemandu kereta tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp. Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
ACP Dzulbaharin turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah bagi mengelakkan kemalangan.
TAMAT
