FAHMI: TELCO DIMINTA PERKUKUH RANGKAIAN INTERNET DI SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

Oleh: Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 6 Sept – yarikat telekomunikasi (telco) perlu segera menambah baik kualiti liputan internet di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar dan lokasi strategik termasuk Pulau Sebatik.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti empat lokasi di sepanjang jalan utama dari Tawau ke Sepagaya yang menghadapi masalah capaian internet.

“Dasar kita jelas, di mana ada jalan, di situ mesti ada internet. Jadi arahan akan dikeluarkan kepada telco supaya menambah baik rangkaian di kawasan berkenaan,” katanya kepada media selepas meninjau liputan komunikasi di Kampung Sepagaya di sini hari ini.

Saya difahamkan masalah utama di sini ialah gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku sehingga menjejaskan akses internet.

“Jadi, kita akan teliti cadangan pemasangan bateri tambahan supaya talian tidak terputus walaupun berlaku gangguan elektrik,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, semakan di Kampung Sepagaya mendapati menara komunikasi di kawasan itu berfungsi baik serta sudah dilengkapi dengan rangkaian 5G.

Selain itu, U Mobile juga akan menambah peralatan bagi memperluas capaian 5G di kawasan berkenaan, katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Fauzi Isa dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Lahad Datu dan Kalabakan.

Dalam pada itu, Fahmi mengarahkan MCMC turun ke Pulau Sebatik hari ini bagi menyiasat aduan berkaitan masalah internet, termasuk isu limpahan isyarat dari negara jiran.

“Ada cadangan pemasangan repeater sebagai langkah sementara, namun penyelesaian jangka panjang akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Indonesia di Kota Kinabalu dalam tempoh dua minggu lagi,” jelasnya.

Mengulas mengenai pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Fahmi berkata sistem pengesahan menggunakan MyKad berjalan lancar sejak dilaksanakan 31 Ogos lalu.

“Setakat ini, Kementerian Kewangan memaklumkan sistem stabil dan jumlah transaksi harian semakin meningkat. Ini membuktikan mekanisme MyKad adalah kaedah terbaik bagi mengelak ketirisan atau penyelewengan,” katanya.

Lawatan kerja Fahmi bersama pegawai kanan Kementerian Komunikasi itu turut memberi ruang beliau menilai secara dekat aduan penduduk berkaitan perkhidmatan internet di Sabah.

TAMAT

Share This Article