PENDAPATAN MELEBIHI PGK ANTARA PUNCA BANTUAN KEBAJIKAN DITAMATKAN – RINA

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU, 29 APRIL – Pendapatan isi rumah yang telah melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) antara faktor utama penamatan bantuan kebajikan di bawah Skim Bantuan Produktif melibatkan BKK, EPOKU, BAP, SBAM dan SBAY.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata, penamatan bantuan tersebut dibuat hasil proses kaji semula bagi menilai peningkatan pendapatan serta tahap sosioekonomi penerima berdasarkan PGK, Purata Isi Rumah Miskin Tegar semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar semasa yang ditetapkan.

Menurutnya, selain peningkatan pendapatan, bantuan juga boleh ditamatkan sekiranya penerima meninggal dunia, berpindah tempat tinggal, memberikan maklumat tidak sahih atau meragukan, gagal dihubungi selepas dua percubaan pada tarikh berbeza serta tidak mengemukakan Borang Kaji Semula (JKM20/SBN01) dalam tempoh ditetapkan.

“Penamatan juga boleh dibuat atas lain-lain faktor munasabah yang dikenal pasti oleh pihak jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Edna Jessica Majimbun (Inanam – Warisan) pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi Skim Bantuan Tidak Produktif seperti BWE, BTB dan BPT, Rina berkata penamatan bantuan dilaksanakan selepas beberapa usaha pemantauan dibuat sekurang-kurangnya setahun sekali.

Katanya, antara kaedah yang digunakan termasuk penerima atau waris melapor diri dan mengemas kini status semasa melalui pelbagai saluran seperti kod QR, kehadiran ke pejabat atau komunikasi melalui panggilan telefon, SMS, WhatsApp, emel dan Telegram kepada pihak berkaitan.

“Maklumat juga boleh diperoleh melalui pemimpin tempatan atau lawatan ke rumah penerima bagi memastikan status terkini mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, bantuan akan ditamatkan selepas siasatan mendapati penerima tidak lagi memenuhi syarat kelayakan termasuk berpindah lokasi atau mengalami peningkatan taraf sosioekonomi.

Selain itu, katanya, penamatan juga boleh berlaku secara automatik melalui sistem eBJKM bagi bantuan persekutuan sekiranya penerima meninggal dunia berdasarkan maklumat daripada sistem myIDENTITY.

Menurutnya, keputusan penamatan bantuan akan dimaklumkan kepada penerima atau waris melalui surat rasmi yang dijana menerusi sistem eBJKM bagi bantuan persekutuan manakala bantuan negeri akan dimaklumkan secara manual.

Dalam perkembangan sama Rina berkata kementerian melalui Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan negeri antara RM200 hingga RM350.

Bagaimanapun, katanya, sebarang peningkatan kadar bantuan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri.

Share This Article