LAHAD DATU, 29 APRIL – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan lori di KM6 Jalan Lahad Datu–Sandakan, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, mangsa berusia 53 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu membuat pusingan ‘U’ di lokasi berkenaan.
“Ketika lori berkenaan sedang membuat pusingan ‘U’ untuk berpatah balik ke arah Sandakan, sebuah motosikal jenis WMOTO yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian kiri lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Dalam pada itu, Dzulbaharin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
