DBKK ROBOH 13 STRUKTUR SETINGGAN HARAM DI BELAKANG ALAMESRA

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 22 JUN- Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meneruskan usaha membanteras pencerobohan tanah kerajaan menerusi Operasi Perobohan Bersepadu Struktur Setinggan Haram di kawasan belakang Alamesra, Likas pada 19 Jun lalu.

Operasi yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu menyasarkan penempatan setinggan yang dibina secara haram di kawasan rizab hutan bakau dan pesisir sungai yang dikenal pasti menjejaskan keselamatan awam serta kelestarian alam sekitar.

DBKK memaklumkan hasil bancian mendapati terdapat 101 rumah di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2 selain 150 struktur setinggan di kawasan bakau belakang Alamesra yang kebanyakannya didiami bukan warganegara.

Menurut DBKK, notis pengosongan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terlibat sejak 13 April lalu bagi memberi tempoh mencukupi sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

Sebanyak 13 struktur berjaya dirobohkan dalam operasi berkenaan, menjadikan keseluruhan 38 rumah setinggan telah diambil tindakan setakat 19 Jun, manakala 112 lagi struktur dikenal pasti untuk tindakan susulan.

DBKK menegaskan tiada kompromi akan diberikan terhadap pencerobohan tanah kerajaan dan pembinaan struktur haram, selaras dengan usaha kerajaan negeri membanteras penempatan setinggan serta memelihara kawasan rizab alam sekitar.

Share This Article