PEMUDA PGRS BANDAU SOKONG BAJET SABAH 2026, FOKUS BELIA DAN MASA DEPAN NEGERI

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA MARUDU 13 Dis 2025 – Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N.6 Bandau, Datu Muhammad Farid Datu Liman, menyatakan sokongan penuh terhadap Bajet Sabah 2026 yang dibentangkan Kerajaan Negeri Sabah, sambil menyifatkannya sebagai bajet berpaksikan rakyat dengan tumpuan jelas kepada pembangunan belia.

Farid, yang juga Ahli Dewan Belia Sabah N.6 Bandau, berkata bajet berkenaan menekankan tiga indikator utama yang penting kepada generasi muda Sabah, iaitu kesejahteraan belia, pemerkasaan ekonomi dan pelaburan untuk masa depan.

“Bajet ini meletakkan kebajikan belia sebagai antara keutamaan melalui peruntukan kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, khususnya bagi belia luar bandar yang memerlukan sokongan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Bajet Sabah 2026 turut membuka lebih banyak ruang penglibatan belia dalam sektor ekonomi strategik termasuk keusahawanan, industri kreatif, ekonomi digital, pertanian moden dan pelancongan.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan pengangguran belia, malah melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing serta mampu menjadi pencipta peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik penekanan kerajaan negeri terhadap tadbir urus baik dan pembangunan lestari, yang disifatkannya sebagai pelaburan penting bagi menjamin masa depan generasi muda Sabah.

“Pelaburan dalam pendidikan, pendigitalan dan pembangunan mampan mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan belia terus terbela, bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, Farid menyeru belia Sabah, khususnya di N.6 Bandau, agar menyokong serta memanfaatkan sepenuhnya inisiatif yang disediakan di bawah Bajet Sabah 2026 demi merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya.

TAMAT

Share This Article