PAPAR, 3 OGOS – Seorang lelaki berusia 61 tahun yang dikhuatiri hilang selepas turun menjala ikan di Sungai Benoni, Papar ditemukan meninggal dunia malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 7.09 malam sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut saksi yang juga adik mangsa memaklumkan mangsa keluar menjala ikan sekitar jam 6 pagi semalam dan kebiasaannya akan pulang kira-kira jam 1 tengah hari.
Namun selepas mangsa masih belum pulang sehingga lewat petang, usaha mencari dilakukan bersama penduduk kampung sebelum menemui motosikal serta selipar milik mangsa berhampiran kawasan sungai.
Operasi mencari dan menyelamat yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menemukan mangsa pada jam 9.59 malam berhampiran lokasi motosikalnya.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 10.13 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
