KOTA KINABALU, 7 APRIL — Kerajaan Negeri Sabah menegaskan pendiriannya untuk menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan geran khas bagi Tempoh Terlepas sambil komited meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata keputusan berkenaan adalah bersifat prosedural yang mengekalkan status quo sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.
Menurut beliau, penangguhan itu tidak mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengarahkan semakan geran khas bagi tempoh 1974 hingga 2021.
“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa semakan perlu diteruskantermasuk bagi tahun-tahun semasa, memandangkan formula 40 peratus serta keperluan semakan tidak dipertikaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu beliau berharap rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan dengan semangat kerjasama dan niat baik walaupun prosiding mahkamah masih berjalan.
Hajiji turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang tidak bersetuju dengan penangguhan tersebut, namun menegaskan bahawa keputusan mahkamah tetap dihormati.
“Ini adalah proses yang sedang berjalan dan Kerajaan Negeri akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan Sabah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 yang mengiktiraf hak Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip di negeri ini.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan untuk menghormati keputusan berkenaan.
Mahkamah Rayuan dijangka menetapkan tarikh pendengaran rayuan antara 27 hingga 30 Oktober 2026 manakala sesi e-Review dijadualkan pada 13 April ini bagi pengesahan tarikh tersebut.
