TAWAU, 23 Jan: Suasana hiba menyelubungi Masjid As Salam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau apabila kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Insp Khairil Azhar Kamaruddin, pegawai kanan Komando 69 Charlie Skuadron yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, Semporna, kelmarin.
Timbalan Pengarah KDNKA (PGA) Bukit Aman, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, mengetuai rombongan ziarah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan Allahyarham sepanjang perkhidmatan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM.
Turut hadir memberikan penghormatan ialah Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, SAC Nor Omar Sappi, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, serta barisan pegawai kanan dan anggota PDRM.
Solat jenazah telah dilaksanakan dengan diimamkan oleh Ustaz Zulnizam Mohamad dan dibantu oleh Ustaz Antasari Putra Anwar dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), IPD Tawau.
Allahyarham yang ketika itu bertugas dalam Op Taring di Sabah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas insiden latihan menyelam tersebut. Seluruh warga PDRM menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.
TAMAT
