Operasi SAR Empat Hari Berakhir Apabila Seorang Nelayan Ditemui Meninggal Dunia, Seorang Lagi Selamat

sabahheadlines
2 Min Read

PAPAR, 19 Feb — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dilaporkan hilang di laut ketika menjalankan aktiviti memukat di kawasan Pantai Manis, Kampung Kuala di sini sejak 16 Februari lalu berakhir petang tadi, selepas seorang mangsa ditemui meninggal dunia manakala seorang lagi selamat.

Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Papar pada jam 10.44 pagi memaklumkan kejadian berkenaan sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, pada jarak lapan kilometer.

Menurut maklumat awal seorang mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat manakala seorang lagi masih hilang, sekali gus mencetuskan operasi SAR melibatkan pasukan bomba bersama agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Pasukan penyelamat menjalankan pencarian menggunakan kaedah surface searching dengan bot bomba sejauh kira-kira tujuh kilometer (2.16 batu nautika) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Memasuki hari keempat hari ini, operasi bermula pada jam 8.20 pagi diketuai Ketua Balai BBP Papar, PPgB Rozlan Osman bersama empat anggota dengan pencarian di kawasan persisiran pantai Kampung Bundusan hingga Muara Pengalat sepanjang kira-kira empat kilometer menggunakan bot.

Pada jam 3.20 petang, keluarga mangsa memaklumkan kepada pasukan penyelamat bahawa mangsa telah ditemui orang awam di kawasan berhampiran Pantai Kampung Sangkabok, kira-kira 71 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, selepas maklumat dikesan melalui aplikasi TikTok.

Keluarga mangsa kemudian hadir ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk pengecaman dan identiti mangsa disahkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.23 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.

Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Primus Ujim, 52 manakala mangsa yang ditemui meninggal dunia ialah Saimon Ongit, 60, kedua-duanya warganegara Malaysia.

Operasi melibatkan 10 anggota BBP Papar dengan bantuan logistik termasuk sebuah jentera FRT, sebuah EMRS dan sebuah bot.

TAMAT

Share This Article