SANDAKAN, 21 FEBRUARI— Keadaan banjir di Kampung Sungai Memanjang dilaporkan beransur surut susulan cuaca cerah selepas hujan berterusan sejak 20 Februari lalu menyebabkan paras air Sungai Memanjang meningkat dan melimpah ke kawasan kampung.
Air yang melimpah sebelum ini menjejaskan jalan utama serta beberapa kawasan kediaman sehingga sukar dilalui, selain memaksa sebahagian penduduk berpindah ke Masjid Nur Iman Kampung Sungai Memanjang yang dijadikan pusat transit sementara.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan menjalankan pemantauan di kawasan berisiko banjir bermula jam 7 pagi bagi menilai situasi semasa serta keperluan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pasukan diketuai Kapt (PA) Sulaiman Salama bersama tiga pegawai dan seorang anggota lain bergerak ke lokasi dan tiba sekitar jam 8.50 pagi bersama seorang anggota dari APM Beluran menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Hasil tinjauan di laluan alternatif di kawasan estet Man Choon mendapati air banjir telah surut sepenuhnya, manakala pemeriksaan di jalan utama kampung sekitar jam 9.30 pagi mendapati beberapa kawasan masih dinaiki air namun menunjukkan trend surut dan boleh dilalui kenderaan.
Pemantauan menggunakan dron turut dilaksanakan dan mendapati keseluruhan kawasan yang terjejas pada 20 Februari mula pulih dengan keadaan cuaca cerah.
Pasukan pemantau menamatkan operasi di lapangan pada jam 12.15 tengah hari dan kembali ke Pusat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Sandakan pada jam 1.30 petang.
Menurut APM, tiada bacaan paras air direkodkan setakat pemantauan dijalankan. Keadaan cuaca dilaporkan baik dan situasi keseluruhan terkawal.
Hasil pemantauan juga mendapati sebahagian penduduk yang berlindung di pusat transit telah kembali ke kediaman masing-masing apabila air semakin surut.
APM Sandakan memaklumkan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang perubahan cuaca.
TAMAT
