Tiga Lelaki Ditahan, Polis Rampas Kereta Dalam Ops Tapis di Sandakan

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 19 Feb – Tiga lelaki ditahan dalam Operasi Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di sekitar Bandar Letat Jaya dan PPR Taman Harmoni, Batu 3, di sini, semalam.

Operasi bermula jam 11 pagi hingga 4 petang itu menyasarkan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan.

Dalam serbuan pertama di tepi jalan Bandar Letat Jaya, seorang lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di lokasi berhampiran, seorang lagi lelaki diberkas di sebuah rumah di PPR Taman Harmoni selepas disyaki memasukkan dadah ke dalam badan. Turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga BLM bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pasukan Polis PPK Suan Lamba turut menahan seorang lelaki lain atas kesalahan sama, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai tiga orang.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif amphetamine dan methamphetamine. Mereka kini ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman di lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, berkata operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.

TAMAT

Share This Article