TAWAU, 11 JUN- :Seorang lelaki warga emas berusia 86 tahun ditahan selepas pihak berkuasa merampas pelbagai hidupan liar dan hasil haiwan dilindungi dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kalumpang, Jalan Tawau-Semporna, semalam.
Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Unit Perisikan Siasatan Khas (WCB) bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak.
Hasil pemeriksaan menemukan sebuah peti sejuk yang dipercayai digunakan untuk menyimpan daging haiwan liar, termasuk rusa, kijang dan landak. Turut ditemui seekor tenggiling serta seekor monyet yang masih hidup.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memiliki hidupan liar tanpa permit sah dan disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan haiwan dilindungi kepada pelancong di daerah Semporna.
Semua barang rampasan dibawa ke JHL Sabah untuk tindakan lanjut, manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
JHL Sabah mengingatkan bahawa pemilikan, penyimpanan dan urus niaga hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta hukuman penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
