KENINGAU, 3 Mac – Seorang lelaki terselamat tanpa kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Liawan, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.57 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Selverinus itu tiba di tempat kejadian kira-kira empat minit kemudian, iaitu sekitar 2.01 pagi. Lokasi kemalangan dilaporkan terletak lebih kurang 2.5 kilometer dari balai berkenaan.
Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan seorang mangsa lelaki. Bagaimanapun, mangsa telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam sebelum ketibaan bomba dan disahkan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Mangsa seterusnya dibawa ke balai polis oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 pagi.
Seramai empat pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera EMRS.
Dalam pada itu, pihak BBP Keningau mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas, khususnya ketika memandu pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
TAMAT
