MARITIM MALAYSIA TAHAN DUA BOT, RAMPAS ROKOK TAK BERCUKAI & PETROL NILAI RM65,700 DI LAHAD DATU

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU,24 SEPT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot sekaligus serta merampas barang seludup termasuk 40,000 batang rokok tidak bercukai dan 600 liter petrol dalam operasi penguatkuasaan di perairan Felda Sahabat, di sini semalam.

Operasi dijalankan Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0 di perairan selatan Tanjung Sinakut berasaskan maklumat risikan yang diterima.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata bot pertama ditahan jam 8.26 pagi diikuti bot kedua jam 9.14 pagi.

“Apabila bot ronda kami menghampiri, dua lelaki dewasa dari setiap bot terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan mendapati bot pertama membawa 24 tong berisi petrol berjumlah kira-kira 600 liter manakala bot kedua ditemui mengandungi empat peti rokok jenama Astro (40,000 batang), tujuh tong gas memasak serta 20 tong minyak kosong.

Kedua-dua bot dipercayai berperanan berbeza iaitu bot pertama membawa petrol untuk diseludup ke negara jiran manakala bot kedua bersedia menerima bekalan minyak sebelum dijual di luar negara.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM65,700. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Kesemua bot dan barang rampasan dibawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia memberi amaran akan terus memperkukuh rondaan dan operasi bagi membanteras kegiatan seludup di perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Operasi di talian 016-930 5727 atau 999.

Share This Article