SEMPORNA, 9 November -Persatuan Usahawan Semporna (PUS) akan membantu ahlinya mendapatkan maklumat mengenai peluang pembiayaan, latihan dan pembangunan perniagaan yang ditawarkan kerajaan negeri serta Persekutuan.
Penaung PUS, Datin Saadiah binti Haji Abdul Rashad berkata persatuan itu boleh menjadi penghubung antara usahawan dengan agensi berkaitan selain membantu ahli mengenal pasti kemudahan yang sesuai untuk mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa PUS Bil. 2/2026 serta Majlis Meraikan Sukarelawan PUS di AKR Grill Batu 2, di sini, semalam.
Jelas beliau antara kemudahan kerajaan negeri yang boleh diteroka ialah geran mesin, peralatan dan pembangunan produk menerusi SME-UP di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR), pembiayaan S-SEED serta latihan keusahawanan RISE oleh SEDCO.
Saadiah menambah uahawan wanita juga boleh mendapatkan maklumat mengenai program latihan dan keusahawanan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) manakala SEDCO menyediakan kemudahan premis perniagaan.
“Di peringkat Persekutuan antara agensi yang menawarkan sokongan kepada usahawan ialah TEKUN Nasional, MARA menerusi DanaNITA, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp Malaysia dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
katanya.
Saadiah berkata, selain bantuan kerajaan, usahawan perlu meneliti kemudahan pinjaman perniagaan yang menawarkan kadar faedah rendah dan bersesuaian dengan kemampuan serta keperluan perniagaan.
Beliau turut menggalakkan usahawan Semporna menyertai program seperti Sabah Big Sales bagi membina jaringan perniagaan, memperkenalkan produk dan meneroka peluang kerjasama dengan usahawan tempatan serta antarabangsa.
“Peluang seperti ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh penjenamaan dan pemasaran produk selain membuka ruang kepada usahawan meneroka pasaran eksport.
“Usahawan Semporna perlu merebut peluang yang ada supaya produk tempatan dapat berkembang ke pasaran lebih luas termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau turut mencadangkan PUS menubuhkan biro mengikut bidang keusahawanan dengan setiap biro dipimpin jawatankuasa dan disokong ahli yang mempunyai kepakaran berkaitan.
Katanya, pembahagian tugas itu dapat menyusun gerak kerja dengan lebih teratur serta mengukuhkan kerjasama dalam kalangan ahli.
Turut hadir Pengerusi PUS, Mohd Saiful Mad Sahirun; Timbalan Pengerusi, Saridah Ab Lakata,Naib Pengerusi, Kalsum Juhuri serta barisan Ahli Jawatankuasa PUS.
Pada majlis berkenaan, sijil penghargaan disampaikan kepada sukarelawan PUS sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka kepada persatuan.
