Kebakaran Besar Di Kampung Titingan, 40 Kediaman Setinggan Lenyap

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 2 Februari 2026 – Sekurang-kurangnya 40 kediaman setinggan musnah dalam satu kebakaran berskala besar di Kampung Titingan di sini, pagi Isnin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi, dengan pasukan pertama tiba kira-kira lapan minit kemudian.

Komander Operasi, PBK I Mohd Yahya Abd Fattah berkata, api merebak pantas di kawasan penempatan padat berkeluasan lebih 130 meter persegi, namun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.

Menurut beliau, usaha pemadaman melibatkan beberapa aliran hos dengan sokongan pelbagai sumber air termasuk lori tangki, pili bomba serta sumber air terbuka.

“Keadaan angin yang berubah-ubah serta tekanan air rendah menyukarkan operasi, namun api berjaya dikawal sebelum tengah hari,” katanya.

Operasi bersepadu membabitkan seramai 25 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tawau bersama sokongan Bomba Komuniti Titingan, Unit Dron dan beberapa agensi berkaitan, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada sebelah petang selepas lokasi disahkan selamat.

Operasi turut dipantau oleh Ketua Zon 5 Tawau, PgKB II Moilley Milin.

Sementara itu, Ketua Balai BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta tahap kerugian yang dialami.

TAMAT

Share This Article