SINDIKET MINYAK SAWIT TANPA LESEN DITUMPAS

sabahheadlines
2 Min Read

SH SYARMILAH SALLEH

LAHAD DATU (14 JUN): Sindiket penyimpanan dan pengangkutan minyak sawit mentah tanpa lesen berjaya ditumpaskan.

Sindiket itu ditumpaskan menerusi satu operasi bersepadu Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu di sebuah premis tidak bernombor di Batu 15, Jalan Lahad Datu – Kinabatangan kelmarin.

Operasi yang dikenali sebagai “OP Taring Landai / OP Intra Agensi” itu dijalankan sekitar jam 11.40 pagi selepas pihak berkuasa menerima maklumat risikan berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan terbabit.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan di lokasi mendapati sebuah tanker dan sebuah van yang dilengkapi dengan tangki khas dipercayai digunakan untuk menyimpan dan mengangkut minyak sawit mentah secara haram.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa peralatan lain termasuk tong dram, pam, dan hos yang digunakan dalam operasi tersebut.

Anggaran jumlah keseluruhan minyak sawit mentah (CPO) yang dirampas adalah 76 tan 800 liter, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah RM2,336,478.00.

Dalam serbuan itu,katanya empat lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 53 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005, iaitu kesalahan menyimpan minyak sawit mentah tanpa lesen yang sah.

Sehubungan itu, pihak berkuasa menegaskan komitmen mereka untuk terus membanteras sebarang aktiviti penyelewengan dalam industri minyak sawit yang boleh menjejaskan ekonomi negara serta imej sektor perladangan tempatan.

TAMAT

Share This Article