KOTA KINABALU: 30 Nov- Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas mandat yang diberikan kepada gabungan itu untuk terus memimpin Sabah sambil menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kemenangan bersama rakyat.
Beliau berkata kejayaan itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap visi serta usaha GRS dalam membawa masa depan yang lebih cerah kepada negeri ini.
Hajiji menegaskan sokongan dan kepercayaan yang diterima daripada rakyat menjadi asas penting kepada kekuatan gabungan itu.
Katanya, mandat baharu itu diterima dengan penuh kesyukuran oleh beliau dan kepimpinan GRS untuk kembali berkhidmat sebagai wakil rakyat yang dipertanggungjawabkan membawa agenda pembangunan negeri.
Menurutnya, sokongan padu rakyat sepanjang kempen membuktikan keyakinan mereka terhadap perjuangan GRS dalam memperjuangkan kemajuan Sabah.
Ia juga menjadi pemangkin kepada kejayaan gabungan itu pada pilihan raya kali ini dan membuka lembaran baharu dalam pentadbiran negeri.
“Kemenangan ini adalah permulaan kepada satu bab yang lebih bermakna dengan tujuan diperbaharui dan tekad bersama untuk membina masa depan yang lebih baik buat Sabah dan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan sejurus keputusan rasmi diumumkan.
Hajiji berkata sejak dari awal penubuhannya GRS berpegang kepada komitmen untuk membawa perubahan holistik dan kemajuan inklusif melalui agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Usaha ini, katanya, bertujuan menggerakkan pembangunan seimbang serta menyatukan rakyat di seluruh negeri.
Beliau menambah bahawa kerajaan GRS kekal teguh untuk meneruskan kesinambungan agenda SMJ 2.0 yang memberi fokus kepada empat tonggak utama iaitu Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Maju (Sabah Forward), Sabah Sejahtera (Sabah Prosper), dan Sabah Bersatu (Sabah United). Tonggak ini akan terus menjadi panduan dalam setiap perancangan pembangunan negeri.
Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan GRS akan bekerja tanpa henti memperjuangkan harapan semua rakyat Sabah sambil menangani cabaran baharu dan memanfaatkan peluang yang muncul untuk kesejahteraan negeri. Beliau menegaskan setiap suara rakyat, tanpa mengira latar belakang, akan dihargai dan didengari.
Beliau turut mengajak rakyat untuk terus menjadi rakan kongsi aktif dalam perjalanan pembangunan Sabah. Hajiji pada masa sama menyeru pihak lawan agar kembali merapatkan saf dan menyemarakkan semangat demokrasi dengan bekerjasama demi kebaikan negeri, sekali gus memastikan kemenangan ini membawa makna sebenar kepada rakyat.
TAMAT
