SANDAKAN, 19 APRIL- Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan hari ini merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sentuhan Prihatin KESUMA 2026 yang berlangsung di Masjid Wasatiyyah, PPR Batu Sapi di sini.
Inisiatif anjuran Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Sabah itu memperlihatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja, Pejabat Parlimen Batu Sapi serta agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dalam usaha membantu masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program CSR berkenaan bukan sekadar bersifat sementara, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Menurutnya, pendekatan turun padang yang dilaksanakan mampu memastikan tiada golongan masyarakat tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Setiap sumbangan walaupun kecil jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan mampu memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Program berkenaan turut menyaksikan pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada komuniti setempat, termasuk penyediaan dua unit penghawa dingin untuk kegunaan masjid, pemasangan dua lampu solar bagi laluan ke masjid, selain pengagihan 100 bakul makanan kepada golongan asnaf.
Selain itu seramai 100 penerima turut mendapat manfaat melalui sumbangan minyak hitam berserta perkhidmatan penyelenggaraan percuma yang disediakan oleh pelajar ADTEC Sandakan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah JHEKS Malaysia, Anita Ahmad; Pengerusi Masjid Wasatiyyah, Mohd. Zharif Aizat Samsudin; serta Pengarah JHEKS Sabah, Noraini Ithnin bersama penduduk setempat.
Program tersebut dilihat sebagai salah satu usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh jaringan sokongan sosial serta meningkatkan kesejahteraan komuniti, khususnya di kawasan perumahan rakyat.
