Okeh: Syarmillah Salleh
PENAMPANG, 12 Sept – Operasi pencarian seorang mangsa tertimbus akibat tanah runtuh berakhir pagi tadi.
Mangsa, lelaki berusia 97 tahun itu ditemui tertimbus bawah rumah dua tingkat di Kampung Serapung dekat sini dan disahkan meninggal dunia.
Khamis lepas berlaku tanah runtuh akibat hujan lebat dan menghempap rumah mangsa.
Ketika kejadian itu, mangsa bersama seorang lagi wanita berada di rumah tersebut.
Bagaimanapun wanita yang belum dikenalpasti identitinya berjaya diselamatkan oleh orang awam dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Manakala mangsa gagal dikesan dan operasi diteruskan pagi ini di mana mangsa ditemui.
Menurut kenyataan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mangsa ditemukan tertimbus di tingkat bawah rumah separuh kekal dua tingkat yang musnah dalam kejadian tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua dimulakan seawal pagi dengan bantuan unit khas STORM, pasukan Drone dan agensi-agensi lain.
Komander Operasi, PBK I Callixtus Bin Fedilis, berkata operasi hari kedua dimulakan dengan kerja-kerja pembersihan runtuhan dan pemotongan pokok yang menghalang laluan menggunakan peralatan asas sementara menunggu bantuan jentera berat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Pada jam 10:35 pagi, pasukan bomba berjaya menemui mangsa kedua yang tertimbus di tingkat bawah rumah.
” Sepuluh minit kemudian, mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan dan dibawa keluar sejauh 750 meter menggunakan pengusung ke kawasan yang lebih selamat dari risiko banjir dan tanah runtuh,” katanya.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sebelum itu, cabaran besar dihadapi pasukan penyelamat apabila laluan utama ke lokasi ditenggelami air dan runtuhan tanah menyekat akses jentera.
Anggota bomba terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.
Insiden yang dilaporkan berlaku pada jam 6:10 petang, 11 September itu telah menyebabkan sebuah rumah tertimbus sepenuhnya.
Pasukan BBP Penampang menerima panggilan kecemasan sebelum segera menggerakkan anggota bersama bantuan dari BBP Kota Kinabalu, pasukan khas STORM dan unit Drone.
Sebanyak 30 anggota termasuk 9 daripada PDRM terlibat dalam operasi SAR yang turut dibantu oleh penduduk kampung.
Operasi rasmi ditamatkan pada jam 11:30 pagi hari ini namun pemantauan berkala akan diteruskan di kawasan kejadian berikutan risiko tanah runtuh susulan hujan berterusan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, PKPgB Zeno Tinggalan, boleh dihubungi untuk maklumat lanjut di talian 014-3510134.
TAMAT
