KOTA Belud: 17 Dis, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kedua diteruskan bagi mengesan seorang warga emas yang dipercayai hilang di Kampung Tambulion Laut, di sini, sejak Isnin lalu.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 16 Disember 2025, jam 7.30 pagi, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud tiba di lokasi pada jam 7.50 pagi, kira-kira lapan kilometer dari balai.
Menurut pihak bomba, mangsa dikenali sebagai Minun binti Kasim, 83 tahun dilaporkan kali terakhir dilihat di kawasan kampung berkenaan pada 15 Disember 2025 kira-kira jam 5.30 petang,sebelum disedari hilang.
Ketua Operasi memaklumkan, operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 9.15 pagi dan kawasan pencarian dibahagikan kepada enam sektor utama melibatkan kawasan sekitar rumah mangsa, sungai, jambatan gantung serta laluan menghala ke empangan.
Sektor pencarian melibatkan Kawasan pokok ara, kawasan sebelah kiri sungai jambatan gantung menghala ke empangan,
sebelah kanan jambatan gantung menghala ke empangan, kawasan sekitar rumah mangsa.
Termasuk kawasan sebelah kiri sungai jambatan gantung
dan kawasan sebelah kanan jambatan gantung menghala ke bahagian bawah empangan
Operasi SAR dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Unit K9 serta penduduk kampung.
Seramai 10 anggota bomba BBP Kota Belud terlibat dalam operasi ini, dibantu 11 anggota PDRM, enam anggota APM, enam anggota RELA serta kira-kira 20 orang awam.
Operasi turut menggunakan sebuah lori bomba dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Komander Operasi, PBK I Thomas Bolu, berkata operasi SAR masih diteruskan dan pihaknya akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan di lapangan.
Sebarang maklumat berkaitan mangsa boleh disalurkan kepada Ketua Balai BBP Kota Belud,Elge Bakuk di talian 017-601 5922.
