OPERASI SAR DITERUSKAN ESOK, PASUKAN HARUNGI MEDAN MENCABAR SEPANJANG 7.5 KM

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU, 26 Mac – Kecekalan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terus diuji apabila operasi pencarian mangsa di sepanjang laluan sungai dari Kampung Ansip ke Kampung Rimbayan hari ini berdepan pelbagai cabaran termasuk keadaan muka bumi yang curam dan berisiko.

Dalam operasi yang melibatkan ‘Team SAR 2’ seramai lapan anggota, pasukan berkenaan menyusuri tebing sungai sejauh kira-kira 7.5 kilometer bagi mengesan petunjuk baharu berkaitan kehilangan mangsa.

Walaupun berdepan keletihan selepas seharian menjalankan pencarian, anggota terlibat tetap meneruskan usaha dengan penuh komitmen, memanfaatkan masa rehat singkat untuk memulihkan tenaga sebelum menyambung semula operasi.

Sumber memaklumkan, fokus pencarian hari ini tertumpu di kawasan sepanjang laluan sungai yang dikenal pasti berpotensi, namun keadaan geografi yang mencabar sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran pergerakan pasukan.

“Keadaan laluan yang sukar serta faktor keselamatan menjadi antara kekangan utama sepanjang operasi dijalankan,” katanya.

Operasi bagaimanapun ditangguhkan secara rasmi pada jam 5 petang oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan keadaan semakin gelap yang boleh membahayakan keselamatan anggota di lapangan.

Menurutnya, operasi SAR akan disambung semula esok dengan harapan cuaca yang lebih baik dapat membantu memperluas skop pencarian.

Orang ramai turut diseru untuk mendoakan agar segala urusan pasukan penyelamat dipermudahkan serta mangsa dapat ditemui dalam masa terdekat.

TAMAT

Share This Article